NADMA patut main peranan urus banjir, bukan lepas batok di tangga!
Sampai masa nilai semula birokrasi, protokol hulur bantuan kecemasan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Ketidakcekapan Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri (NADMA) menguruskan masalah banjir mengundang kecaman ramai pihak.
Terdahulu, media melaporkan bahawa anggota tentera telah bertindak pada Jumaat untuk membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan daripada NADMA.
Sumber mendedahkan, agensi itu, yang menerima kritikan mengenai pengurusan banjir di Lembah Klang, pada mulanya teragak-agak untuk mengerahkan tentera bagi usaha bantuan.
Ekoran itu, tentera mula bergerak ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir selepas solat Jumaat.
Mengulas situasi itu, Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, sepatutnya NADMA menjadi pihak utama yang menggerakkan perancangan membantu mangsa banjir.
“Namun keadaan sangat mengecewakan, sedangkan kita semua tahu bahawa NADMA merupakan agensi peneraju pengurusan bencana yang mengatur semua gerakan dan mengkoordinasi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana.
“Di sinilah NADMA sepatutnya memainkan peranan utama dan bukannya seperti melepaskan batok di tangga,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau menegaskan, sepatutnya ketika ini NADMA mengaturkan langkah bagaimana hendak menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap lebih daripada beberapa hari, tanpa makanan dan ubat-ubatan.
“Adakah NADMA tidak boleh bertindak disebabkan protokol dan birokrasi dan terpaksa mengikut peraturan dan undang-undang yang sudah ditetapkan untuk NADMA?
“Ini bukan masanya memikirkan soal protokol dan birokrasi. Sebagai contoh, dalam keadaan sekarang, ‘Lori Hantu’ yang sentiasa berkeliaran di tempat-tempat projek dan hutan juga telah keluar dari persembunyian dan membantu mangsa-mangsa banjir. Lori-lori ini pun mampu meredah banjir memberikan bantuan.
“Mereka membawa bot sendiri, membeli dan menyewa sampan untuk membantu menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap. Mujurlah rakyat Malaysia mempunyai sifat keprihatinan yang sangat tinggi,” katanya.
Tetapi, apakah yang NADMA lakukan untuk rakyat yang ditimpa bencana alam selain daripada mengelak daripada tanggungjawab sebenar, soalnya.
Walhal, katanya, ini sama sekali bukan kali pertama Malaysia menghadapi masalah banjir.
“Berdasarkan rekod sejarah banjir buruk yang melanda kawasan Lembah Klang ini pernah berlaku pada tahun 1971 atau 50 tahun yang lalu. Manakala di negeri Kelantan dan Terengganu, masalah ini sudah menjadi seperti ‘acara tahunan’.
“Sepatutnya kita sudah mempunyai pengalaman yang luas dan tahu bagaimana hendak mengurangkan risiko serta cara dan kaedah yang sesuai untuk menangani masalah ini,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memikirkan rancangan jangka panjang supaya punca kepada masalah banjir ini dapat dikenal pasti agar ia dapat dielakkan.
“Kepada rakyat Malaysia, teruskan sifat keprihatinan anda dan teruskan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Kepada pihak berkuasa pula, mungkin sudah sampai masanya untuk kita menilai semula soal birokrasi dan protokol dalam menghulurkan bantuan kecemasan,” katanya.