Berita Utama

Pengalaman 24 jam terkandas banjir, bukti kekuasaan Allah SWT

Pengalaman wartawan Ismaweb.net bantu penduduk selamatkan diri

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, SelasaBerat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul – Itulah peribahasa yang terlintas di hati penulis apabila melihat penduduk Mempaga, di Bentong, Pahang yang terpaksa ‘menelan’ segala kepahitan akibat musibah banjir.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan kesemua harta benda termasuk kediaman mereka musnah dalam sekelip mata.

Penulis yang menumpang berteduh selama 20 jam selepas terperangkap berikutan limpahan air Sungai Bentong yang menghalang laluan untuk pulang ke ibu kota turut merasai keperitan yang dilalui penduduk kampung berkenaan.

Sangat memilukan, rumah yang menjadi syurga dunia akhirnya ranap sekelip mata akibat arus deras, bukan itu sahaja, kenderaan dan harta benda lain juga rosak sepenuhnya apabila ditenggelami air banjir yang keruh.

Namun semangat kerjasama penduduk menunjukkan mereka saling membantu sesama sendiri sebelum pihak berwajib tiba di lokasi.

Penulis sendiri bersama 11 ahli keluarga sempat menghulurkan bantuan apabila berpeluang membantu memunggah barang-barang milik penduduk kampung sebelum ditenggelami sepenuhnya.

Bagi penulis perjalanan pulang ke ibu kota dari Kota Bharu kali ini sangat luar biasa, apabila terperangkap dua musibah serentak iaitu banjir dan tanah runtuh.

Penulis sendiri yang memulakan perjalanan dari Kota Bharu seawal 9 pagi (18 Disember) berkonvoi bersama tiga buah kereta milik adik-beradik melalui saat yang mendebarkan.

Perjalanan yang biasa mengambil masa hanya tujuh atau lapan jam kini bertukar menjadi melebihi 24 jam, dan terpaksa berteduh di dalam kereta di kawasan yang gelap di kawasan lebuh raya baharu di Mempaga, Pahang.

Sepanjang perjalanan hujan lebat menemani sehinggalah ke Raub apabila semua kenderaan diarah penduduk kampung supaya melalui laluan alternatif selepas dimaklumkan berlaku tanah runtuh.

Sepanjang penulis melalui kawasan itu hampir tiga lokasi berdepan tanah runtuh dan pihak berwajib sedang bertungkus-lumus membersihkan kawasan bagi memberi laluan kepada kenderaan.

Namun ketika memasuki laluan Lebuh Raya Mempaga kira-kira 10 malam kelihatan beberapa buah kenderaan yang mendahului telah berhenti di tepi jalan dan memberi isyarat supaya menangguhkan perjalanan berikutan keadaaan air sungai telah melimpah di laluan utama.

Keadaan berterusan sehingga 4 pagi (19 Disember) dan paras air semakin tinggi melepasi bumbung rumah penduduk kampung sebelum ada wakil penduduk menghampiri deretan kenderaan untuk meminta bantuan mengangkat datuknya yang lumpuh.

Penulis bersama lebih 100 mangsa yang terperangkap bergotong-royong membantu penduduk setempat memunggah barang penduduk kampung ke kawasan lebih tinggi sebelum dipindahkan ke dewan pusat pemindahan sementara kira-kira 9 pagi (19 Disember).

Namun semua bernasib baik apabila penduduk kampung datang mengagihkan roti dan minuman sebagai pengalas perut sebelum menunggu bantuan pihak berwajib.

Walaupun keadaan penat namun semangat kerjasama antara mangsa terperangkap dan penduduk kampung memberikan pengalaman indah kepada penulis yang berpeluang menumpang di pusat pemindahan selama beberapa jam.

Sebelum kembali meneruskan perjalanan ke ibu kota kira-kira 8 malam (Ahad) selepas air semakin surut dan pihak berwajib membersihkan pokok tumbang kesan tanah runtuh.

Bagi penulis pengalaman mahal ini hanya dilalui insan terpilih sahaja selain bukti kekuasaan Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja terhadap umatNya.

Malah, ia juga tanda menyayangi umat dan mengetahui semua yang diduga itu mampu melalui walaupun pahit, semestinya ada hikmah tersendiri daripada kejadian yang berlaku!

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button