Berita Utama

Superman Hew saran Kit Siang cepat bersara

Minta serah kepimpinan parti pada generasi baru

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Bekas ahli parti tamak haloba, DAP menyarankan Lim Kit Siang supaya segera bersara dan menyerahkan kepimpinan sepenuhnya kepada generasi baharu.

Hew Kuan Yau yang turut dikenali sebagai ‘Superman Hew’ juga menggesa pemimpin veteran DAP itu supaya kurang mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Ketua, kurangkanlah bercakap dan mengeluarkan kenyataan. Cepatlah bersara, serahkanlah sepenuhnya kepimpinan parti kepada generasi baru,” kata Kuan Yau dalam hantaran di Facebooknya.

Kuan Yau yang dahulunya ahli DAP, telah keluar daripada parti itu pada 2016 setelah dikecam berhubung kenyataan dan pendiriannya mengenai konflik Laut China Selatan.

Memetik laporan Oriental Daily, kenyataan Kuan Yau itu didakwa susulan ulasan Kit Siang mengenai Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, yang menyaksikan DAP berdepan kekalahan teruk di negeri itu.

Pada pilihan raya itu, DAP bertanding di 26 kerusi tetapi hanya memenangi dua kerusi sahaja.

Kit Siang mendakwa, jika tidak disebabkan oleh pecahan undi pembangkang dan peratus keluar mengundi rendah ekoran pandemik COVID-19, DAP pasti boleh memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button