Berita UtamaDunia

Tahanan wanita Palestin di penjara Israel diseksa kejam

Rejim haram pukul, halang mandi tiga hari, desak tanggalkan tudung

TEL AVIV, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Rejim pengganas Israel semakin tidak berperikemanusiaan apabila menyerang secara kejam tahanan wanita Palestin di penjara Damon di wilayah yang diduduki.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata, tentera Israel menyerbu dengan ganas sel tahanan wanita Palestin sepanjang hari lalu, sambil memukul teruk tahanan dan mencederakan mereka.

Lebih malang, pihak berkuasa penjara Israel mengenakan beberapa langkah penindasan terhadap tahanan wanita, termasuk menghalang mereka mandi selama tiga hari, memotong bekalan elektrik dan menyembur gas pemedih mata ke dalam sel mereka.

Salah seorang banduan tidak sedarkan diri dalam serangan berulang selepas tentera Israel menanggalkan tudung rakan tahanannya, menyerang mereka dengan ganas sambil mencengkam leher dan rambut mereka.

Pihak berkuasa penjara Israel juga telah menempatkan lima wanita dalam kurungan bersendirian.  

Dua daripada mereka dilaporkan dibawa ke penjara Damon, tetapi tiga daripada mereka telah diasingkan di penjara Gilboa dan Jalamah.

Peningkatan serangan terhadap tahanan wanita  berlaku selepas mereka menolak langkah baharu yang diumumkan oleh pentadbiran penjara Israel termasuk hukuman kolektif yang dikenakan ke atas mereka.

Antaranya menghalang lawatan keluarga dan menghalang membeli barang dari kantin, serta tindakan denda ke atas mereka.

Sejak 2015, jumlah wanita Palestin yang ditangkap mencecah lebih 900, antaranya ibu kepada tahanan, syahid dan gadis bawah umur, menurut laporan Kelab Tahanan Palestin (PPC) dan Persatuan Sokongan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Addameer. 

Tahanan wanita dibenarkan melihat hanya seorang ahli keluarga dewasa mereka sejak bermulanya wabak coronavirus ekoran lawatan keluarga digantung.

Lebih 7,000 tahanan Palestin kini ditahan di kira-kira 17 penjara Israel, dengan berpuluh-puluh daripada mereka menjalani beberapa hukuman penjara seumur hidup.

Lebih 500 tahanan, termasuk wanita dan bawah umur, ditahan tanpa perbicaraan dan sebarang pertuduhan. 

Penahanan itu berlaku atas arahan seorang komander tentera dan atas dasar yang disifatkan rejim Israel sebagai bukti ‘rahsia’. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button