
SINGAPURA, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Semua jualan tiket baharu bagi penerbangan dan bas untuk Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) akan dibekukan dari 23 Disember hingga 20 Januari tahun depan.
Kementerian Kesihatan (MOH) menjelaskan, langkah berkenaan untuk mengehadkan pendedahan Singapura kepada kes import Omicron COVID-19.
Bagaimanapun bagi pengembara yang sudah memegang tiket penerbangan atau bas VTL – selain memenuhi semua keperluan VTL yang lain – boleh terus melakukan perjalanan di bawah skim perjalanan bebas kuarantin.
KKM juga akan mengurangkan sementara kuota VTL dan jualan tiket untuk perjalanan selepas 20 Januari 2022.
Kementerian itu akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan mengemas kini dasar ini apabila keadaan berubah.
Dalam kenyataan akhbar hari ini, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) berkata, ia akan mengurangkan sementara kapasiti dan jualan tiket untuk perjalanan ke Singapura atau Malaysia melalui VTL (Darat) mulai 21 Januari 2022 sebanyak separuh – bersamaan 24 perjalanan bas sehala setiap hari.
Katanya, kementerian akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyesuaikan kapasiti VTL (Darat), dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di kedua-dua negara dan di seluruh dunia.
Tiada tiket bas VTL (Darat) baharu akan dijual untuk perjalanan ke Singapura atau Malaysia dari 11.59 malam pada 22 Disember 2021, hingga 11.59 malam pada 20 Januari 2022.
Langkah-langkah sempadan Singapura akan membantu republik itu untuk mengkaji dan memahami varian Omicron.
Selain itu ia juga untuk mengukuhkan pertahanannya, termasuk meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan serta mendapatkan lebih ramai orang yang divaksin dan menerima vaksin penggalak, kata MOH. – Agensi