Berita Utama

Azhar kata tiada MP kemuka usul bahas isu banjir

Perlu buat satu usul ikut Aturan 18(1) untuk bahas hal tergempar

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang dikecam kerana tidak membenarkan isu banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri dibahaskan, hari ini menjawab dakwaan tersebut.

Kata Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, tiada satu pun usul yang dibuat oleh mana-mana Ahli Parlimen untuk membahasnya pada persidangan berkenaan. 

“Apa yang terjadi, Dewan Rakyat sepatutnya mendengar pembentangan daripada Menteri Kesihatan mengenai Rang Undang-undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (pindaan) 2021.

“Namun, pembentangan tersebut tidak dapat dibuat kerana proses libat urus antara menteri dan pihak pembangkang yang belum tamat dan terdapat isu RUU tersebut yang belum selesai.

“Pembentangan RUU tersebut merupakan satu-satunya agenda di dalam aturan urusan mesyuarat pada hari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bangun meminta penerangan menteri berkaitan isu banjir sedangkan mengikut Peraturan Mesyuarat, tidak ada prosedur yang membolehkan Ahli Parlimen meminta penerangan menteri dan mereka hanya berhak memberikan soalan-soalan untuk jawapan lisan.

Selepas itu, katanya, beberapa Ahli Parlimen lain antaranya Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) disusuli oleh ramai lagi Ahli Parlimen blok pembangkang termasuk Lembah Pantai (Fahmi Fadzil) bangun untuk membahaskan usul banjir tersebut.

“Saya menjawab bahawa isu tersebut tidak berada dalam aturan urusan mesyuarat. Saya tidak mempunyai kuasa langsung untuk membenarkan perbahasan seperti yang diminta.

“Ahli-ahli Parlimen sudah sedia maklum mengenai perkara itu kerana mereka merupakan Ahli-ahli Parlimen yang berpengalaman, namun saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian,” katanya.

Azhar yang menjelaskan lanjut tindakannya berkata, perbahasan hanya boleh diadakan sekiranya terdapat usul sama ada untuk mencadangkan sesuatu atau membentangkan RUU dengan notis usul perlu diberikan kepadanya secara bertulis.

“Bagi hal-hal tergempar dan diperlukan untuk dirunding, satu usul di bawah Aturan 18 (1) perlu dibuat kepada saya sehari terlebih dahulu.

“Untuk hal banjir ahli-ahli boleh sahaja memberi notis kepada saya melalui WhatsApp dan sebagainya sebelum hari tersebut (20 Disember 2021), namun tiada seorang pun yang berbuat demikian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button