Berita Utama

Banjir: KPT sokong keputusan IPT tangguh sesi PdP

Gesa IPT lain terkesan bencana ambil langkah sama bantu mangsa terlibat

BANGI, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengalu-alukan keputusan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) melaksanakan penangguhan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta sebarang aktiviti sepanjang tempoh berlakunya bencana banjir.

Antara IPT terbabit adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut terlibat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Sabah (UMS); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kementerian itu berkata, langkah itu diharap dapat meringankan beban dan memudahkan urusan serta melancarkan proses pemulihan pasca banjir.

Menurut KPT, pihaknya prihatin dengan nasib yang menimpa warga IPT yang terkesan dengan musibah berkenaan.

“Sehubungan itu, pihak KPT juga ingin menyarankan kepada semua IPT lain yang terkesan akibat bencana ini untuk turut mengambil pendekatan yang sama bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

“KPT juga ingin menasihati pelajar yang mempunyai sebarang kemusykilan atau pertanyaan berhubung perkara ini boleh terus menghubungi Bilik Gerakan KPT di talian 03-88706777/6623/6628,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button