Berita Utama

11 jururawat Semenanjung dihantar bantu 2 hospital di Sabah

Kelompok pertama dari Semenanjung ditugas secara berperingkat

KUALA LUMPUR, 15 Safar 1442H, Sabtu – Kementerian Kesihatan Malaysia telah menempatkan 11 jururawat di Hospital Semporna dan Tawau bagi membantu pasukan perubatan di kedua-dua hospital yang terkesan akibat peningkatan kes COVID-19 di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumpulan jururawat itu merupakan kelompok pertama dari Semenanjung yang dihantar ke Sabah secara berperingkat sejak pagi tadi.

“Mereka ini merupakan jururawat dari beberapa buah hospital dan telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik COVID-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima adalah jururawat dari Institut Kanser Negara yang ditempatkan di Hospital Semporna manakala masing-masing dua dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Dungun serta masing-masing seorang dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dan Hospital Tengku Ampuan Afzan ditugaskan di Hospital Tawau.

Terdahulu dalam sidang medianya, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 287 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia.

Beliau berkata, kesemua kes adalah penularan tempatan dan 20 daripadanya merupakan individu yang pulang dari Sabah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button