Berita UtamaDunia

Jerman hadkan himpunan maksimum 10 orang sebelum Tahun Baharu

Tutup pusat hiburan, hanya benarkan perlawanan bola sepak tanpa penonton

BERLIN, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Jerman memperkenalkan langkah baharu mengekang penularan COVID-19 sebelum Ambang Tahun Baharu, termasuk mengehadkan perhimpunan persendirian untuk rakyat yang sudah menerima vaksin kepada maksimum 10 orang, kata Canselor Olaf Scholz.

Tidak lama selepas sekatan pergerakan di seluruh negara, Scholz juga bersetuju dengan Ketua Menteri di 16 negeri Jerman untuk menutup kelab serta pusat hiburan dan hanya membenarkan acara besar, termasuk perlawanan bola sepak tanpa penonton.

“Kita tidak boleh menutup mata kepada gelombang seterusnya.

“Coronavirus tidak akan cuti Krismas,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan itu.

Beliau juga yakin hanya beberapa minggu sebelum varian Omicron menjadi dominan di Jerman.

Scholz akan bertemu semula Ketua Menteri pada 7 Januari untuk membincangkan situasi COVID-19.

Selain itu, Jerman juga akan meningkatkan kempen vaksinasi penggalaknya.

Sekitar 70.4 peratus daripada populasi Jerman – kira-kira 83 juta – telah diberi vaksin sepenuhnya dengan 32.6 peratus sudah menerima suntikan penggalak.

Institut Robert Koch (RKI) untuk penyakit berjangkit telah mengesyorkan langkah yang lebih ketat, termasuk memperkenalkan sekatan hubungan maksimum dengan segera dan mengehadkan perjalanan kepada perkara yang benar-benar perlu.

RKI melaporkan 23,428 jangkitan baharu pada hari Selasa dan 462 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Jerman kepada 108,814.

Pakar memberi amaran bahawa varian Omicron boleh menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan kecemasan serta bekalan elektrik dan air.

Hospital mungkin menghadapi gelombang kedua pesakit tenat dan kekurangan kakitangan yang besar akibat jangkitan menular dalam kalangan doktor dan jururawat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button