Dunia

Keganasan di Tebing Barat ganggu gencatan senjata di Gaza: PBB

Serangan, pencerobohan rejim haram burukkan lagi keadaan

WASHINGTON, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keganasan di Tebing Barat yang dijajah berisiko menganggu gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Kebimbangan itu disuarakan Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland mengenai perkembangan terkini di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Ini berikutan keadaan keselamatan yang semakin merosot ketika taklimatnya di Majlis Keselamatan PBB.

Beliau berkata, pertempuran, serangan, operasi ketenteraan dan tahap keganasan berkaitan penjajahan yang tinggi apabila penduduk Palestin menggesa konfrontasi dengan rejim pengganas Israel meningkat. 

“Langkah-langkah unilateral yang berterusan – termasuk perluasan penempatan Israel, pengusiran dan perobohan – serta krisis fiskal dan ekonomi yang teruk di wilayah Palestin memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kestabilan institusi PA.

“Jika dibiarkan, saya bimbang bukan sahaja Tebing Barat akan bertambah buruk, malah dinamik ini juga boleh memberi kesan kepada keadaan keselamatan di Gaza dan menjejaskan gencatan senjata yang telah berlaku sejak Mei 2021,” kata Wennesland. 

Justeru, beliau menggesa semua pihak mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan dan memulihkan keharmonian. 

Sejak 29 September lalu, 12 rakyat Palestin termasuk seorang wanita dan empat kanak-kanak dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel di seluruh negara itu, selain menyebabkan 306 yang lain cedera. 

Konfrontasi terakhir antara Palestin di Gaza dan Israel berlaku pada Mei lalu, di mana lebih 230 rakyat Palestin terbunuh dan ribuan yang lain cedera – antara gelombang keganasan terburuk dalam beberapa tahun.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button