Berita Utama

Kerajaan digesa pertingkat sistem amaran, hebahan banjir

Kaji semula sistem perparitan, titik berat nilai pengurusan bencana alam

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Hujan luar biasa di Selangor serta beberapa negeri lain sehingga menyebabkan banjir besar sudah diramal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sejak November lagi, namun ramalan itu nampaknya tidak dipandang serius oleh kerajaan.

Kecuaian mengambil berat langkah mitigasi kini mengakibatkan ‘bala bencana’ kepada rakyat serta melibatkan kerugian harta benda dalam skala besar.

Pensyarah Kanan, Perancang Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ak Mohd Rafiq Ak Matusin berkata, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertingkatkan oleh kerajaan dalam mempersiapkan penduduk mendepani bencana di masa hadapan.

“Kita wajar melihat persiapan kerajaan dan komuniti dalam mendepani masalah bencana. Hakikatnya sistem yang ada sekarang ni tidak disiapkan untuk membantu penduduk bersiap siaga menghadapi banjir.

“Kerajaan perlu cakna akan pembangunan fizikal tempatan. Sudah tiba masanya kita menitikberatkan nilai pengurusan bencana alam di dalam membina atau merancang pembangunan fizikal tempatan.

“Supaya kita mampu mendepani bencana yang boleh dikatakan luar jangkaan, yang bersifat ‘unpredictable’ dan berskala besar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor utama lain yang perlu diperhatikan adalah perubahan iklim yang kini menjadi satu perkara yang semakin kompleks dan mempengaruhi skala bencana.

“Ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia akan turut memberi kesan dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, apa yang boleh dipertingkatkan adalah aspek teknologi dalam memberi hebahan cuaca kepada penduduk.

Pertama yang perlu dipertingkatkan segera adalah sistem amaran berkaitan bencana, amat perlu diperkuatkan. 

“Kita boleh contohi Jepun yang sentiasa ‘blast’ amaran cuacanya melalui siaran televisyen dan telefon bimbit rakyatnya. Ini membantu rakyatnya bersedia dan lebih peka dengan keadaan semasa.

“Kedua yang perlu dinilai kembali adalah sistem perparitan, dari segi aspek accesibility dan networking. 

“Salah satu punca besar banjir berlaku adalah apabila yang dikatakan sistem perparitan tidak mampu untuk menampung kadar jumlah air semasa hujan lebat. Itu yang menyebabkan banjir tidak disangka-sangka boleh berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button