Berita Utama

Mangsa banjir boleh tangguh bayaran pinjaman kereta, rumah

Pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 melalui BSN

PUTRAJAYA, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Mangsa banjir akan menerima kemudahan penangguhan bayaran ansuran pinjaman kereta, perumahan dan hartanah, kad kredit serta pinjaman peribadi selama enam bulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, mereka juga layak membuat pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya, RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa banjir termasuk untuk membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

“Moratorium (rehat bayaran) 6 bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa- mangsa banjir di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terkesan.

“TEKUN Nasional menyediakan pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

“Manakala Bank Negara Malaysia (BNM) pula mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) 2022,” katanya.

Ismail Sabri berkata, BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

“Kesemua inisiatif di atas ini adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah saya umumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button