Berita Utama

Mayat kanak-kanak tersangkut dalam timbunan kayu hanyut

Operasi mencari seorang lagi mangsa hilang diteruskan

BANGI, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai salah seorang mangsa tragedi banjir lumpur di Bobby Eco Farm, Bentong Sabtu lalu ditemui tersangkut dalam timbunan kayu hanyut.

Mayat mangsa dijumpai pasukan penyelamat jam 10.30 pagi tadi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan penyelamat menemui mayat itu membuat pencarian secara ‘sweep searching’ dan ‘fan searching’ di kawasan sisa kayu hanyut.

Katanya, pasukan penyelamat terpaksa mengalih sisa-sisa kayu untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang diteruskan hari ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Terdahulu, seramai 35 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan satu kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi Chalet Bobby Eco Camp.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, tiga mangsa dilaporkan hilang dibawa arus sungai manakala 32 lagi berjaya diselamatkan.

Tiga mangsa itu ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort berkenaan dikenali sebagai Bobby Lim Yoke, 60-an dan isteri, Yap Koon Lau, 66, serta seorang budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya.

Mayat Koon Lau berjaya ditemui pada jam 10.15 pagi semalam di bawah timbunan sisa balak dan pasir, kira-kira 200 meter dari lokasi inap desa itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button