Dunia

Moderna sedia bangunkan dos penggalak Omicron

Sasar hasilkan 500 juta dos selepas dapat kelulusan

ZURICH, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Pembuat vaksin COVID-19, Moderna bersedia membangunkan dos penggalak dalam masa terdekat bagi melindungi daripada varian baharu, Omicron. 

Ketua Eksekutifnya, Stephane Bancel berkata, Moderna menjangkakan untuk mula ujian klinikal  pada awal tahun depan, namun buat masa ini memfokuskan pada dos penggalak. 

“Ia hanya memerlukan pelarasan kecil untuk Omicron. Saya tidak menjangkakan sebarang masalah,” katanya dalam temu bual dengan akhbar Switzerland, semalam. 

Katanya, syarikat itu kini sedang menunggu maklumat penting mengenai varian baharu itu untuk memulakan pembangunan vaksin.

“Ia akan mengambil masa satu atau dua minggu lagi. Ia juga mengambil masa beberapa bulan sebelum kami boleh menghasilkan 500 juta dos selepas kelulusan (daripada kawal selia).

“Bagaimanapun, kapasiti kami jauh lebih tinggi sekarang berbanding setahun lalu,” katanya. 

Jika badan kelulusan seperti Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS dan Swissmedic Switzerland memerlukan kajian lanjut, maka tempoh itu dijangka bertambah sekurang-kurangnya tiga bulan. 

“Sesetengah pihak berkuasa mahukan kajian, yang lain masih belum membuat keputusan. Pada pendapat saya, ia bergantung kepada tahap perkembangan gejala jangkitan,” kata Bancel. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button