Berita Utama

Pemuda ISMA kerah 1,000 sukarelawan cuci kediaman mangsa banjir

Bekalkan air bersih ke kawasan yang terputus di Raub, Bentong

BANGI, 17 Jamadilawal 1443H, Rabu – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melalui skuad Relawan Muda ISMA telah menggerakkan 200 sukarelawan bagi membantu membersihkan kawasan dan kediaman yang terjejas banjir.

Antara kawasan terbabit adalah Hulu Langat, Bangi Lama, Sepang, Dengkil, Shah Alam, Meru, Ijok, Alor Gajah, Sg Lui, Sg Sekamat, Raub, Bentong, Kuantan, Seremban dan Rembau.

Ketua Pemuda ISMA, Arifin Manan berkata, jumlah sukarelawan akan bertambah ke 1,000 orang menjelang hujung minggu ini.

Selain membantu kerja pembersihan, Pemuda ISMA turut menghulurkan bantuan asas kepada mangsa banjir seperti alatan kebersihan kendiri iaitu syampu, berus gigi, sabun mandi, ubat, pensanitasi tangan, kit ujian kendiri COVID-19.

Di samping itu, Pemuda ISMA turut memberikan kelengkapan tidur (tilam, bantal, selimut), makanan siap masak dan Kit Emosi (modul untuk kanak-kanak bersekolah rendah dan tadika) di Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir dan ke rumah mangsa banjir.

“Bencana banjir yang melanda banyak negeri membuatkan Pemuda ISMA terpanggil untuk membantu mereka yang terjejas.

“Sukarelawan juga turut membantu membersihkan masjid dan tempat awam serta membantu mangsa banjir membaiki peralatan rumah dan elektrik.

“Antara bantuan lain adalah bekalan air bersih ke kawasan yang terputus bekalan air seperti di Raub dan Bentong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifin berkata, Pemuda ISMA turut bekerjasama dengan Yayasan Maghfirah, Yayasan Ikhlas, Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Srikandi Iffah Komuniti Teknikal Islam Malaysia (KomTech) dan Kolej Komuniti Hulu Langat.

“Pemuda Isma juga merayu kepada orang ramai untuk sama-sama menyumbang untuk operasi bencana ini melalui akaun Persatuan Sukarelawan Isma (CIMB – 8604718222),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button