Berita Utama

300 sukarelawati IFFAH turun padang santuni mangsa banjir

Jayakan program Kit Emosi di PPS, terapi kepada mangsa

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Terkesan dengan nasib mangsa bencana banjir, Kelab Serikandi IFFAH, sayap wanita muda bagi Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengambil langkah segera dengan menggerakkan pasukan sukarelawati.

Seramai 300 ahli yang terdiri daripada belia berusia 18 hingga 30 tahun turun padang menjayakan misi kemanusiaan dengan tujuan utama membantu meringankan beban mangsa di beberapa kawasan terlibat banjir di Klang, Hulu Langat dan negeri-negeri lain.

Ketua Wanita ISMA, Dr Suriani Sudi berkata, pihaknya menggerakkan sukarelawati selepas mendapat berita berkenaan banjir dan mengagihkan kumpulan di kawasan-kawasan tertentu.

“Untuk kali ini kira-kira 300 sukarelawati terlibat ke beberapa kawasan banjir teruk dengan misi  untuk membersihkan kawasan pasca banjir di beberapa kawasan yang terjejas teruk.

“Sukarelawati ke kawasan dilanda banjir untuk membantu penduduk yang terkesan termasuk di PPS bagi membantu melaksanakan tugasan mencuci dan membersihkan kawasan yang terjejas.

“Bukan itu sahaja mereka juga terlibat dengan kerja-kerja melibatkan pembungkusan keperluan seperti lampin pakai buang, tuala wanita, pakaian dalam untuk diagihkan kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dr Suriani menambah, perjalanan misi bantuan itu dijayakan menerusi tabung bantuan yang baharu dilancarkan serta sumbangan orang awam untuk membeli keperluan bagi diagihkan kepada mangsa terlibat.

“Fokus sukarelawati IFFAH adalah kerja-kerja sukarelawan dan jati diri, namun dalam situasi hari ini, kita banyakkan program seperti menyantuni mangsa-mangsa terjejas dengan melakukan kerja-kerja membersih bagi membantu meringankan beban termasuk memberi sokongan moral,” katanya.

Jelasnya lagi, sukarelawati juga turut terlibat menjayakan program Kit Emosi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kepada kanak-kanak dengan cara memberi layanan dan sokongan sebagai terapi kepada mangsa.

“Menerusi program Kit Emosi, sukarelawati kita cuba menyantuni mangsa-mangsa sambil bertanya khabar sebagai terapi kepada mangsa-mangsa, walaupun nampak ringkas namun melalui perbualan berkenaan ia dapat mengurangkan beban dan tekanan emosi yang ditanggung mangsa,” katanya.

Beliau dalam masa sama menggesa, IFFAH mempelawa seramai mungkin wanita untuk mendaftar sebagai Sukarelawati IFFAH di seluruh Malaysia.

Tenaga Sukarelawati yang mendaftar akan disusun dan dikoordinasi oleh cawangan IFFAH mengikut lokaliti masing-masing.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan berikut:

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfN_AzaLsWlbTJ_lk2ZE_B5onLYNVQzoYJKst8c007rv8iGaQ/viewform?usp=sf_link

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button