Berita Utama

Banjir: Bomba giat cari tujuh mangsa hilang di Pahang

Pengoperasian babitkan kawasan di daerah Bentong, Raub, Temerloh dan Pekan

SHAH ALAM,18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh individu yang masih hilang di Pahang susulan kejadian banjir yang melanda sejak 17 Dis lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata. pengoperasian berkenaan membabitkan kawasan di daerah Bentong melibatkan empat mangsa dan masing-masing satu di Raub, Temerloh dan Pekan.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini JBPM telah menerima 33 laporan berhubung orang yang hilang dalam insiden bencana itu dengan 26 daripadanya dijumpai telah meninggal dunia iaitu 10 mangsa di Pahang dan 16 mangsa di Selangor.

Mengenai bencana banjir yang berlaku di Taman Sri Muda, beliau berkata, pengajaran yang boleh diperoleh daripada kejadian itu adalah penduduk harus mendengar nasihat bomba jika diarahkan berpindah.

“Ketika air banjir naik pada (paras) buku lali, pihak bomba ada datang membuat pemantauan di kawasan Sri Muda dan menasihati penduduk supaya berpindah,” katanya pada sidang media Op Banjir di Taman Sri Muda, di sini hari ini.

“Namun, rata-ratanya menolak kerana berdasarkan pengalaman mereka air akan surut selepas itu, namun ketika kami bergerak pulang air telah mula naik secara mendadak, deras dan berbahaya.

“Bila air dah naik mereka mula membuat panggilan kecemasan, namun kita tidak dapat untuk kembali semula ke sana dengan segera kerana sedang menyelamatkan mangsa yang lain,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba sentiasa membuat pemantauan dan kesiapsiagaan untuk menghadapi banjir namun situasi banjir di Selangor adalah di luar jangka.

“Hujan di Selangor pada Jumaat dan Sabtu lepas amat luar biasa, dan aset-aset bomba di Selangor selalunya bersiap sedia untuk membantu mangsa di negeri pantai timur dan utara,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, situasi luar jangka itu pernah berlaku di Terengganu pada tahun lepas, apabila kawasan Marang yang tidak dimasukkan sebagai titik panas (hot spot) terjejas teruk akibat banjir.

Mengenai rungutan mangsa yang mengatakan bahawa pasukan penyelamat lambat tiba untuk memberi bantuan, beliau berkata keadaan arus air yang deras menyukarkan operasi menyelamat dilakukan.

“Kita faham, mereka lama menunggu dan lapar tapi kita mengutamakan nyawa dan keselamatan mangsa, kita tak mahu menyeberangi air banjir yang deras itu untuk mengelakkan insiden lain,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohammad Hamdan berkata ratusan anggota turut terjejas akibat banjir termasuk hilang tempat kediaman dan ada yang tidak tahu lokasi pusat pemindahan sementara ahli keluarga mereka ditempatkan.

“Tapi kita tak pentingkan diri, kita tolong semua orang termasuk warga asing. Malahan Pengarah Bomba Selangor sudah 72 jam bekerja membantu mangsa sehingga melecet kaki, tapi saya cakap sabarlah ini sebahagian daripada kerja kita,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button