Berita Utama

Banjir: Pahang catat 2 kematian hari ini, 39 korban keseluruhan

Korban terbaharu melibatkan kes berlaku di Temerloh

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Angka korban banjir keseluruhan di Selangor serta Pahang merekodkan peningkatan seramai 39 individu sehingga hari ini.

Pertambahan angka korban banjir berkenaan direkodkan di Pahang membabitkan dua di Temerloh.

Terdahulu, sidang media harian Op Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pagi tadi oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan sebanyak 37 kematian dan 10 laporan orang hilang direkodkan di kawasan banjir sehingga semalam.

Dalam kejadian di Temerloh, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani mengesahkan dua beranak dilapor hilang dipercayai dihanyutkan arus deras semasa meredah banjir di padang bola di Mentakab pada Selasa, ditemukan maut hari ini.

Mayat Musa Ahmad, 53, ditemukan pada 10 pagi manakala mayat anaknya Mohd Airall Zikree, 10, dijumpai pada 11.50 pagi.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi akhir mereka dilihat dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas didakwa hilang semasa mandi di sungai berhampiran jambatan kereta api Kuala Krau, Temerloh, petang semalam masih belum dijumpai.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan mangsa masih diteruskan dengan bantuan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan penduduk kampung.

Sementara itu, korban banjir di Pahang setakat ini turut membabitkan dua mangsa di Kuantan, manakala tujuh lagi di Bentong.

Kejadian di Bentong melibatkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di sebuah pusat peranginan dengan dua mayat telah ditemukan manakala seorang lagi dilaporkan hilang dalam insiden itu.

Dalam pada itu kejadian di Telemong, lima mayat telah ditemukan manakala seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang masih belum ditemukan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button