Berita Utama

Banjir: Umat Islam diseru adakan solat hajat, bacaan Yasin

Mohon kesejahteraan rakyat, negara daripada musibah

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Umat Islam di seluruh negara diseru melaksanakan solat sunat hajat dan membaca surah Yasin bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara, susulan bencana banjir yang melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata beliau juga telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin selepas solat Maghrib malam ini di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

“Saya juga memohon kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

“Pada malam ini, saya dan anggota agensi hal ehwal Islam akan bersama-sama para jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta kerjasama jabatan agama Islam negeri agar bersama-sama mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin di masjid dan surau di negeri masing-masing bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button