Berita Utama

Bantuan ihsan mangsa banjir akan disegerakan: NADMA

Bantuan RM1,000 dan RM5,000 mengikut kelayakan

SHAH ALAM, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis Pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir akan disalurkan kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa yang terjejas, dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pemberian itu layak kepada mangsa terjejas sama ada yang berpindah atau tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Pemberian BWI terbahagi kepada dua iaitu bantuan RM1,000 kepada semua KIR mangsa yang terjejas dan RM5,000 bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa meninggal dunia.

“Syarat utama adalah mesti ada Mykad, merupakan mangsa bencana dan pendaftaran KIR perlu dibuat menerusi ketua kampung, penghulu serta ketua komuniti di kawasan masing-masing,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Katanya lagi, NADMA sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan mangsa terlibat menerima bantuan yang dijanjikan dengan segera.

“NADMA dan Kementerian Kewangan (MOF) juga akan memudahkan proses permohonan termasuk mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) sebagai penyaluran fasa satu bagi proses pengagihan bantuan kepada mangsa terjejas,” katanya.

Sebanyak tujuh negeri melibatkan 24 daerah di seluruh negara masih terjejas dengan bencana banjir iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Terkini, seramai 67,889 individu direkodkan dan masih berada di 419 PPS di seluruh negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button