Berita UtamaDunia

COVID-19: 13 juta penduduk Xi’an jalani perintah berkurung

Hanya ketua keluarga dibenar keluar setiap 2 hari

SHAANXI, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Dalam usaha menghentikan penyebaran COVID-19, kira-kira 13 juta penduduk di bandar Xi’an tidak dibenarkan keluar rumah apabila pihak berkuasa kembali melaksanakan perintah berkurung.

Arahan yang dibuat pihak berkuasa itu berusaha untuk mempertahankan strategi sifar kes pandemik, beberapa hari sebelum tahun 2021 melabuhkan tirai.

Xi’an yang terletak di utara China mencatatkan 143 kes COVID-19 sejak 9 Disember lalu, namun pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyebaran berterusan.

Tindakan meningkatkan sekatan perjalanan dan mengarahkan penduduk tinggal di rumah dikaitkan dengan kes penularan di sebuah universiti di bandar raya ini.

Hanya ketua keluarga dibenarkan keluarkan setiap dua hari bagi mendapatkan bekalan keperluan kecuali jika keadaan darurat.

Bagaimanapun, sehingga kini rakyat tidak dimaklumkan berapa lama sekatan berkenaan.

Memetik laporan BBC, pihak berkuasa telah melaksanakan pendekatan tiada toleransi di bandar berkenaan namun kes dilihat semakin meningkat ketika Beijing bersiap menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, Februari depan.

Semua perkara kini dalam kawalan ketat termasuk penerbangan dibatalkan selain perjalanan jarak jauh hanya dibenarkan dengan kebenaran pihak berkuasa sahaja.

Rakyat juga tidak dibenarkan meninggalkan bandar kecuali keadaan mendesak dan mereka perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk merentas bandar serta menyatakan bukti.

Orang ramai telah dimaklumkan untuk bekerja dari rumah dan beberapa perkhidmatan penting lain ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button