Berita Utama

Budaya politik kepartian lebih agresif jika tubuh cawangan di kampus

Perpecahan akan tercetus, hakis keharmonian antara mahasiswa

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 13 Syaaban 1444H, Isnin – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bimbang keputusan untuk membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus universiti akan menyebabkan budaya politik kepartian lebih agresif dalam kalangan mahasiswa.

Presiden PEMBINA, Wafiq Azman percaya kelonggaran itu akan menimbulkan lebih banyak keburukan, apatah lagi melihat realiti amalan politik kepartian di negara ketika ini.

Beliau berkata, penubuhan cawangan parti politik di kampus sememangnya akan mengakibatkan ketidaksejahteraan dalam kalangan mahasiswa.

“Kita ingin melahirkan mahasiswa yang keluar dari permainan politik kepartian dan komited dalam membangunkan negara dalam identiti sebuah negara berperlembagaan.

“Mereka juga akan disibukkan dengan berhujah balas mengenai isu-isu persepsi yang dimainkan oleh ‘ibu bapa’ parti politik mereka, lebih-lebih lagi apabila sudah berdaftar secara rasmi di dalam kampus.

“Sudah pasti mereka akan disibukkan untuk melakukan kerja parti di dalam kampus,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana pelbagai pindaan telah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.

“Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik di dalam atau luar kampus, termasuk mereka boleh menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

Kelonggaran hanya untungkan parti politik

Mengulas lanjut, Wafiq turut bimbang kelonggaran itu bakal mencetuskan perpecahan di kampus, sekali gus menghakis keharmonian sedia ada di antara mahasiswa.

“Sedangkan mungkin ada dalam kalangan mereka yang merupakan rakan sekelas di kampus. Oleh itu, penubuhan parti politik di dalam kampus sememangnya memberi kesan kepada kesejahteraan mahasiswa di kampus.

“Cadangan ini akan lebih banyak menguntungkan parti politik kepartian khususnya kepada rekrutmen ahli, survival parti dan doktrin ideologi parti berbanding memberi manfaat kepada pengupayaan dan potensi mahasiswa sebagai golongan terpelajar,” katanya.

Menurut Wafiq, mahasiswa sepatutnya didedahkan kepada cara berfikir dalam kerangka bagaimana melahirkan budaya politik sejahtera, matang dan berminda solusi kepada negara, berbanding membincangkan siapa betul atau salah terhadap isu-isu politik.

“Kita merupakan individu terpelajar dan seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

“Di luar kampus, mungkin ada daripada mahasiswa yang tidak bersetuju pada sesuatu perkara, namun ianya tidak menghalang untuk mahasiswa-mahasiswa ini bersepakat dalam hal-hal yang mampu menyumbang kepada pembangunan kampus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pandangannya yang tidak bersetuju dengan kelonggaran itu bukan bermakna untuk menyekat atau menghalang mahasiswa terbabit secara aktif dengan politik kepartian.

“Tanpa penubuhan cawangan parti politik di kampus sekalipun, mahasiswa masih mempunyai kebebasan untuk terlibat dengan politik kepartian di luar kampus.

“Di dalam kampus, lebih bermakna dan menjadi keperluan untuk mahasiswa lebih disibukkan dengan membangun pengupayaan ilmu, diskusi ilmu, penglibatan aktiviti kepimpinan dengan persatuan pelajar dan kesepakatan dalam isu-isu negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button