Berita Utama

Kematian akibat banjir meningkat 37 orang, 10 masih hilang: KPN

Akui penyelarasan semua agensi pada mulanya agak perlahan

SHAH ALAM, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Jumlah kematian akibat banjir meningkat kepada 37 di seluruh negara termasuk seorang kanak-kanak, kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl Sani berkata, lima mangsa maut termasuk dua orang yang hilang dilaporkan semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran mangsa.

“Dukacita dimaklumkan dalam tempoh 24 jam lepas, lima lagi mangsa dilaporkan maut. Secara kolektif banjir itu telah meragut 37 nyawa manakala 10 orang masih hilang,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Bencana Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, punca kematian akan diketahui kemudian setelah laporan bedah siasat disediakan.

Sementara itu, mengulas perbezaan jumlah mangsa yang dikeluarkan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, beliau berkata, statistik itu berdasarkan laporan polis yang dibuat berhubung kematian tersebut.

“Setiap kematian perlu dilaporkan kepada polis mengikut Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Jadi setiap laporan yang dibuat (mengenai kematian) akan direkodkan sebagai statistik oleh polis,” katanya.

Sehingga kini, 68,341 mangsa banjir di seluruh negara mencari perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 18,080 keluarga.

Katanya, 1,081 anggota polis turut terjejas akibat banjir itu.

“Daripada jumlah itu, 880 adalah pegawai dan anggota,” katanya.

Mengenai dakwaan lambat bertindak dan tiada penyelarasan oleh pihak berkuasa, Acryl Sani mengakui perkara itu berlaku pada peringkat awal banjir di Taman Sri Muda.

“Kita dapati penyelarasan semua agensi pada mulanya agak perlahan di Taman Sri Muda, kita berjaya menggembleng dan menyelaras dengan lebih baik pada hari kedua.

“Ketika itu keadaan banjir masih berbahaya, kita dapati di Shah Alam mangsa banjir berada di rumah teres dan pangsapuri, jadi kepadatan penduduk di Shah Alam berbeza dengan negeri lain.

“Kepadatan kawasan perumahan merupakan cabaran besar untuk menyelamatkan mangsa. Walaupun peringkat awal agak perlahan, keadaan semakin bertambah baik apabila kita meningkatkan penyelarasan antara semua agensi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button