Berita Utama

Letak MCA di kerusi ‘tradisi’ pecah belahkan Melayu

Rakyat sudah bijak memilih, NGO boleh wakil suara mereka

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Jamadilawal 1443H, KhamisJanji UMNO untuk meletakkan calon MCA di kawasan majoriti Melayu dipercayai akan menyebabkan keadaan pecah belah dalam kalangan kaum Bumiputera itu.

Oleh yang demikian, UMNO diminta untuk insaf dan belajar daripada kesilapan lalu dengan bertegas untuk tidak menyerahkan kerusi yang dianggap sebagai ‘tradisi’ kepada calon daripada parti berkenaan.

Sekiranya UMNO masih berdegil, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari tidak menolak kemungkinan calon dari MCA akan tersungkur kali ini.

“Kita pelik kenapa UMNO mahu bekerjasama lagi dengan MCA sedangkan semua tahu siapa MCA sebenar, adakah mereka ini mempunyai agenda tersembunyi?

“Sekiranya UMNO tetap berkeras, suara rakyat pasti muncul dan UMNO kena ingat rakyat hari ini sudah bijak menilai,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Izzat berpandangan, orang Melayu kini memiliki banyak pilihan dalam memilih calon yang akan membawa suara mereka ke Parlimen.

Malah, katanya lagi, tidak mustahil pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diangkat untuk mewakili rakyat yang sudah hilang kepercayaan terhadap golongan politik.

“Orang Melayu kini mempunyai banyak pilihan untuk memilih wakil rakyat mereka tidak lagi terhad kepada MCA semata-mata.

“Dulu orang Melayu tiada pilihan, kita terpaksa pilih bukan Melayu, namun hari ini kita banyak pilihan, ada parti-parti baharu untuk digerakkan ke seluruh negara,” katanya.

Semalam, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, jika UMNO kekal memberikan kawasan majoriti Melayu kepada MCA, parti itu tidak teragak-agak untuk meletakkan calon muslim berwibawa di semua kerusi berkenaan.

Katanya, BERJASA kini menunggu keberanian UMNO untuk mempertahankan kawasan majoriti Melayu daripada diambil oleh MCA, maka BERJASA akan mengambil peranan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button