Berita UtamaDunia

Nigeria musnah lebih sejuta dos vaksin tamat tempoh

Banyak vaksin diderma Barat punyai jangka hayat singkat

ABUJA, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Nigeria memusnahkan lebih daripada sejuta dos vaksin AstraZeneca yang telah tamat tempoh.

Proses itu dibuat semalam, lebih seminggu selepas pihak berkuasa kesihatan berkata, beberapa dos COVID-19 didermakan oleh negara Barat yang kaya mempunyai jangka hayat hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.

Agensi berita Reuters melaporkan pada 7 Disember bahawa kira-kira satu juta vaksin COVID-19 dianggarkan telah tamat tempoh di Nigeria pada November tanpa digunakan.

Di tapak pelupusan sampah di Abuja, jentolak menghancurkan vaksin AstraZeneca yang dibungkus dalam kotak kadbod dan plastik.

Pengarah Eksekutif Agensi Pembangunan Penjagaan Kesihatan Primer Kebangsaan, Faisal Shuaib memberitahu pemberita bahawa kekurangan bekalan vaksin di benua itu telah memaksa Nigeria untuk mengambil dos, walaupun mengetahui ia mempunyai jangka hayat yang singkat.

“Kami telah berjaya menarik balik 1,066,214 dos vaksin AstraZeneca yang telah tamat tempoh. Kami telah menunaikan janji kami untuk bersikap telus kepada warga Nigeria.

“Kemusnahan hari ini adalah peluang bagi warga Nigeria untuk mempercayai program vaksinasi kami,” kata Shuaib.

Menteri Kesihatan, Osagie Ehanire berkata, Nigeria tidak akan lagi menerima vaksin dengan jangka hayat yang singkat, memetik keputusan jawatankuasa presiden.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 12,971,729 dos vaksin telah diberikan untuk Nigeria setakat 19 Disember.

Negara paling ramai penduduk di Afrika, dengan populasi melebihi 200 juta, telah merekodkan 227,378 kes COVID-19 dan 2,989 kematian sejak wabak itu bermula.

Pakar kesihatan berkata, Nigeria perlu menggandakan pemberian vaksinasi daripada kira-kira 100,000 dos sehari untuk memenuhi sasaran suntikan kepada lebih separuh penduduknya menjelang akhir tahun depan.

Baru-baru ini, seperti banyak negara Afrika yang lain, Nigeria telah menyaksikan lonjakan dalam bekalan vaksin, yang telah menyerlahkan isu-isu lain berkaitan dengan pengedaran dan keraguan rakyat untuk mendapatkan suntikan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button