Rakaman audio ‘Can I advise you something’ mengarut: Rosmah
Tiada siasatan saintifik untuk buktikan ia suaranya

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini kandungan rakaman audio yang mengandungi ayat “Can I advise you something?” adalah tidak benar dan tiada siasatan saintifik untuk membuktikan ia adalah suaranya.
Rosmah, 70, berkata demikian ketika ditanya sama ada kandungan audio itu benar, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan pembelaannya yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Sri Ram: Saya katakan kepada anda kandungan rakaman itu benar. Adakah anda bersetuju?
Rosmah menjawab, “Tidak, mengarut semata-mata.”
Rosmah juga tidak bersetuju dengan cadangan Sri Ram bahawa suara dalam rakaman itu adalah suaranya.
Sri Ram: Anda mengesahkan suara dalam rakaman itu adalah suara anda dan suami anda (Datuk Seri Najib Tun Razak)?
Rosmah: Tidak, saya tidak dapat mengesahkannya, kerana tidak ada siasatan saintifik yang dilakukan mengenainya.
Sri Ram: Saya juga menyatakan kepada anda bahawa semasa perbualan itu, anda membuat rujukan berhubung pelantikan jawatan awam.
Rosmah: Saya tidak bersetuju.
Rosmah juga tidak bersetuju dengan Sri Ram bahawa beliau tidak mahu dikaitkan dengan kandungan rakaman audio berkenaan kerana rakaman itu mengesahkan beliau menasihatkan suaminya berhubung pelantikan jawatan awam.
Sri Ram berkata beberapa saksi dalam perbicaraan itu termasuk bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor, telah memberi keterangan di mahkamah bahawa ia adalah suara Rosmah dan Najib.
Bagaimanapun, Rosmah membalasnya dengan berkata, “Dan anda sepatutnya mempercayai mereka”.
Ketika ini, Sri Ram meninggikan suaranya dan berkata Rosmah tidak sepatutnya menyoalnya semula.
Sri Ram: Anda tidak boleh tanya saya soalan. Anda mahu bertengkar dengan saya? Rosmah menjawab, “Saya tidak bertengkar dengan anda. Saya nak jawab”.
Pada ketika ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mencadangkan Rosmah mendengar soalan pihak pendakwaan dan memendekkan jawapannya kerana peguamnya akan membuat pemeriksaan semula.
Sejurus selepas hakim memberikan arahannya, Rosmah menjawab, “Datuk Seri (Sri Ram), janganlah jerit-jerit dekat saya. Saya tak biasa orang jerit-jerit dekat saya,” katanya. – Bernama