Berita Utama

RM1.6 juta diperuntuk YaPEIM bantu mangsa banjir

Anggar 10,000 terima manfaat melalui peruntukan

BANGI, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Mohd Ridzal Mohd Sheriff berkata, bantuan itu merangkumi sumbangan tunai, barangan keperluan asas, makanan siap dimasak, kering dan basah serta peralatan keperluan pembersihan kediaman.

“Menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami, RM500 diagihkan kepada 1,500 asnaf yang terkesan teruk akibat banjir, pemberian bantuan segera peralatan kepada mangsa banjir berjumlah RM30,000 dan lima pam air di 10 negeri.

“YaPEIM menganggarkan 10,000 penerima mendapat manfaat dengan peruntukan RM1 juta bagi program itu.

“Kami turut mengagihkan bantuan Foodbank YaPEIM 3.0 berjumlah RM100 yang diagihkan kepada 27,500 mangsa banjir membabitkan pemberian makanan siap dimasak, makanan kering dan basah, barangan keperluan asas serta pembelian peralatan berjumlah RM560,280,” katanya menerusi kenyatan, hari ini.

Katanya, kesemua bantuan sudah digerak serta diagihkan kepada mangsa sejak Sabtu lalu dan sehingga kini masih berterusan membabitkan petugas atau sukarelawan YaPEIM di seluruh negara.

“YaPIEM akan berusaha memastikan mereka yang terjejas teruk dalam bencana banjir mendapat bantuan sewajarnya dan menggerakkan kakitangan di lapangan menyantuni mangsa banjir dengan segera,” katanya.

Sumbangan diagihkan bertujuan memaksimumkan amal jariah orang ramai untuk digunakan sebagai manfaat kepada mereka memerlukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button