Berita Utama

Semua mangsa banjir boleh ambil bantuan di PPS – Rina Harun

Tidak timbul hanya mereka yang tinggal di PPS sahaja layak

SEPANG, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Semua mangsa banjir tidak kira sama ada yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau selainnya, boleh datang mengambil bantuan yang ditempatkan di PPS, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, tidak timbul isu hanya mereka yang tinggal di PPS layak menerima bantuan yang disediakan kerajaan dan disumbangkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ada antara mereka (mangsa banjir) ni tidak tinggal di PPS tetapi terjejas dengan banjir dan memerlukan bantuan.

“Saya dah arahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (membantu) walaupun kita tahu bantuan-bantuan yang diberikan khusus untuk mereka yang duduk di PPS, namun masih ada yang tidak berpindah ke PPS tetapi memerlukan bantuan,” katanya di sini hari ini.

Rina berkata mangsa banjir yang tidak tinggal di PPS hanya perlu datang dan mendaftar di PPS untuk  rekod mendapatkan bantuan yang diperlukan dan bantuan yang ada akan diagih bersama.

Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook Cikgu Fadli Salleh berkongsi video yang menunjukkan lambakan barang sumbangan orang ramai yang tidak dibenarkan diambil orang luar dan hanya dikhususkan untuk mangsa banjir di PPS sahaja.

Sementara itu, Rina berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berhasrat menghulurkan tenaga membantu mangsa banjir dinasihatkan untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada koordinator di PPS bagi memudahkan penyelarasan tugas dan bantuan.

Mengulas keluhan NGO yang mendakwa dihalang oleh pihak tertentu ketika mereka masuk ke kawasan banjir untuk memberi bantuan, beliau berkata PPS mempunyai koordinator dan apa yang perlu dilakukan ialah mendapatkan koordinator untuk memaklumkan bahawa NGO tertentu akan memberi bantuan.

Pada masa sama beliau berharap, tidak ada pihak yang menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan mempolitikkan isu berkenaan yang kadang-kadang tidak dapat dipastikan siapa yang menghalang tetapi akhirnya tempelak dibalikkan kepada kerajaan.

Sementara itu, Rina berkata, JKM turut menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu dari segi psikososial mangsa banjir di setiap PPS dan pihaknya akan mengeluarkan senarai kaunselor yang boleh dihubungi mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan kaunseling.

“Ini kerana, mereka bukan sahaja kehilangan harta benda tetapi dari segi masalah psikologi yang memerlukan bantuan psikososial.

“Dalam keadaan sekarang kami faham emosi mangsa terganggu jadi perlu untuk mereka ini dibantu,” katanya sambil menambah kira-kira 1,200 kaunselor sudah digerakkan di PPS Kuala Lumpur dan Selangor. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button