Berita Utama

Pasca banjir: Kanak-kanak berisiko berdepan masalah emosi

Perlu bantuan terapi agar psikologi mereka berkembang baik

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Bencana banjir yang melanda negara sehingga berlakunya banyak kemusnahan bukan sahaja memberi kesan kepada emosi golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk kanak-kanak ini diberikan bantuan terapi dalam memastikan perkembangan psikologi mereka pasca banjir berlangsung baik.

Hal ini kerana, jelas Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin, kebiasaannya pada masa ini mereka berada dalam fasa sedih selepas mengharungi situasi getir dan memeritkan.

“Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlanjutan dan tidak boleh melebihi dua minggu kerana berpotensi untuk menjadi murung dan akhirnya membawa kepada masalah-masalah lain yang lebih kritikal.

“Justeru, golongan kanak-kanak perlu diberikan sokongan psikologi dan emosi, perlu diperlu diberikan dalam masa terdekat elak berterusan berada dalam keadaan trauma.

“Golongan kanak-kanak berkenaan perlu didekati dan melalui terapi-terapi seperti bercerita, melalui pujukan dan juga hiburan bagi memulihkan emosi kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tambah beliau, bantuan terapi amat diperlu bagi mengelak kanak-kanak ini berdepan dengan memori ‘flushbulb’ yang akan diingat sampai bila-bila.

“Ingatan ‘flashbulb’ adalah ingatan yang jelas tentang peristiwa yang menyakitkan dan mengejutkan sehingga boleh memberikan kesan trauma kepada kepadanya.

“Sebab itu golongan kanak-kanak perlu didekati kerana masih dalam fasa gangguan emosi, situasi itu sekiranya dibiarkan mampu memberi kesan jangka panjang kepada perkembangan dirinya,” katanya.

Dalam masa sama, Siti Azura berkata, bagi memastikan kanak-kanak berkenaan menjalani kehidupan normal, mereka tidak seharusnya dibebankan dengan masalah yang boleh mengamit semula memori pahit pernah dilalui sebelum ini.

“Mereka sebenarnya sangat sensitif, hanya pujukan-pujukan ke arah menenangkan boleh dijadikan terapi paling berkesan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button