Berita Utama

Baiki segera koordinasi ‘lembab’ agensi bencana

Pemimpin perlu terima cemuhan rakyat yang kecewa dengan mereka

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kelemahan urus tadbir yang berlaku dalam agensi bencana negara ketika menangani masalah banjir ketika ini.

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, para pemimpin perlu cakna dan bertindak pantas dalam memperbetulkan keadaan agar situasi sama tidak berulang.

“Pemimpin khususnya secara terbuka perlu menerima kritikan dan cemuhan daripada rakyat yang nyata kecewa dengan tindakan (mereka).

“Namun melalui cemuhan yang diterima ada baiknya supaya pemimpin lakukan sesuatu yang lebih bermakna kepada rakyat bagi jangka masa panjang dan pendek.

“Kita ambil iktibar dan belajar daripada kesilapan yang telah berlaku yang kesannya dapat dilihat pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Dimensi, Urus Bencana – Kerajaan Gagal Tanganinya? Yang disiarkan di TV Pertiwi.

Azmi berpandangan, pihak berwajib yang bertanggungjawab menguruskan bencana seolah-olah tidak bersedia menghadapi banjir luar biasa, baru-baru ini.

“Ia sangat menghairankan kenapa timbul koordinasi yang lembab sedangkan kita sudah biasa melalui bencana seperti banjir ini yang berlaku di negeri-negeri pantai timur dan pantai barat.

“Jika sebelum ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menguruskan namun lima tahun lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dipertanggunjawab menguruskan.

“Jadi sangat menghairankan kenapa apabila berlaku banjir di Selangor dan beberapa tempat di Kuala Lumpur agensi berkenaan lambat bertindak bagaikan tidak bersedia.

“Sedangkan semua dah ada, tapi bantuan tidak sampai dan lambat menguruskan mangsa-mangsa terjejas,” katanya.

Dalam masa sama, Azmi menggesa lantikan jawatan menteri selepas ini perlu berdasarkan kesesuaian akademik dan pengetahuan bagi mengelak berlakunya kelemahan dalam pentadbiran negara.

“Kita tidak boleh lantik pemimpin atas dasar beliau adalah ketua sesuatu parti politik, itu adalah kesilapan besar sebaliknya perlu cari yang mempunyai akedemik yang bersesuaian.

“Dalam urusan melantik menteri perlu fikir kesan apakah baik buruk lantik kerana kesan adalah kepada rakyat,” katanya lagi.

Pautan Dimensi:
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/2715841475390120

Facebook (https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/2715841475390120/)
Log in or sign up to view
See posts, photos and more on Facebook.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button