Berita Utama

Banjir: Menteri Kabinet diarah batal cuti, pulang ke Malaysia segera

Anggota keselamatan diminta beri tumpuan bantu kerja pembersihan rumah rakyat

BENTONG, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana menteri yang sedang berada di luar negara, juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.

“Saya dapat banyak soalan mengenai Menteri-Menteri Kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing. Mana ada di luar negara balik segera,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau juga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand yang sepatutnya diadakan pada 28 hingga 30 Disember bagi memberi tumpuan kepada isu banjir yang melanda rakyat ketika ini.

Beliau berkata, perbincangan urusan dua hala antara Malaysia dan Thailand itu akan dibawa ke tarikh lain yang akan diumumkan kelak.

Pada sidang media itu, Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan pengurusan bencana kerajaan negeri Pahang dan majlis daerah dalam mengendalikan urusan banjir di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau menghargai sumbangan daripada syarikat berkaitan kerjaaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang menyumbang RM75.8 juta sehingga hari ini.

Katanya, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga telah menyumbang RM5 juta bagi membantu mangsa banjir.

“Sekarang bukan beli makanan, tetapi keperluan rumah dan duit ini akan digunakan untuk bantu mangsa banjir bila mereka pulang ke rumah masing-masing kelak.

“Anggota keselamatan negara juga diminta memberi tumpuan untuk membantu kerja-kerja pembersihan rumah rakyat, apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button