Berita Utama

Banjir Selangor jadi pengalaman, pengajaran urus bencana

'Kita belajar daripada kesilapan': Abdul Latiff

KUANTAN, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Situasi banjir di Selangor menjadi pengalaman baharu dan pengajaran untuk membaiki kelemahan yang berlaku, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata antara yang dipelajari ialah bagaimana menguruskan banjir di kawasan berkepadatan tinggi, rumah yang banyak dan rapat di kawasan jarang berlaku banjir besar, selain tidak mempunyai sungai yang banyak untuk mengalirkan air.

“Kita belajar daripada kesilapan atau kekhilafan sewaktu mengurus banjir…bila Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran kita harap semua pihak dapat berwaspada dan sama-sama beri peringatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di sini, hari ini.

Sebagai contoh, Abdul Latiff berkata peringatan berwaspada perlu kerap dikeluarkan berhubung ramalan hujan berterusan peringkat kuning yang dijangka berlaku di Tawau, Sandakan dan Kudat pada 27 dan 28 Dis ini, dan perlu diteruskan sehingga tamat musim monsun Timur Laut.

Mengenai tempoh proses permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir, Abdul Latiff berkata pihaknya akan memproses permohonan itu secepat mungkin bagi membantu mangsa, dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), ia boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa hari, jika semua dokumen lengkap.

Semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan negeri juga diminta agar segera mengemukakan senarai kerosakan akibat banjir untuk membolehkan bantuan membaiki infrastruktur daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri digemblengkan segera. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button