Berita Utama

MARA longgarkan bayaran balik pinjaman kepada mangsa banjir

Peniaga diberi pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan

BANGI, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terbabit dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri, baru-baru ini.

Kelonggaran itu turut diberikan kepada peminjam perniagaan, selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, permohonan terhadap kelonggaran itu boleh dibuat melalui Pejabat MARA negeri atau daerah yang berhampiran.

“Bagi mereka yang menjadi mangsa banjir dan terkesan dengan bencana itu, mereka boleh memohon kelonggaran tersebut dengan menghubungi Pejabat MARA Negeri atau Daerah berhampiran.

“Insentif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan yang terkesan dengan bencana banjir kali ini.

Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.

“Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban peminjam terutamanya usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat.

“Kita juga amat bersimpati dengan musibah bencana banjir yang melanda kali ini dan berharap agar semua mangsa yang terkesan dapat bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi ini,” katanya.

Mereka yang berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insentif bencana banjir ini, boleh layari laman sesawang http://www.mara.gov.my.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button