Berita Utama

Pasukan khas kaji dakwaan Tommy Thomas adakan mesyuarat pertama

Berhubung dakwaan dalam ‘My Story: Justice in the Wilderness’

PUTRAJAYA, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ telah mengadakan mesyuarat pertama mereka di Kuala Lumpur, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung beberapa dakwaan yang ditulis dalam buku tersebut antaranya isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.

“Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan dari tarikh lantikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan khas itu dipengerusikan Penasihat Undang-Undang Sarawak dan bekas Peguam Besar Sarawak Datuk Seri Fong Joo Chung, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri bertindak sebagai urus setia.

Pasukan khas itu dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Hashim Paijan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang juga bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.

Ia turut dianggotai bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara Datuk Jagjit Singh Bant Singh, dua peguam Datuk Shaharudin Ali dan K. Balaguru serta wakil daripada Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Wan Junaidi berkata memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan pasukan petugas khas itu termasuk terma rujukan, keanggotaan, implikasi kewangan telah dibentang dan diluluskan Jemaah Menteri.

Thomas telah menerbitkan buku berkenaan pada awal tahun ini namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.

Berikutan itu, polis telah menerima lebih 100 laporan terhadap Thomas berhubung penerbitan buku berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button