Berita Utama

PEMBELA turun padang bantu mangsa banjir di Shah Alam

Tenaga, wang sumbangan dikeluarkan atas dasar kesedaran

BANGI, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, ramai pihak turun padang bersama-sama membantu mangsa banjir di Shah Alam sejak beberapa hari lalu.

Tidak ketinggalan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) turut terbabit dalam misi bantuan mangsa banjir.

Selain menyumbang tenaga dan wang, beberapa NGO seperti Dapur Taqwa dan Yayasan Kasih Tauhid berkolaborasi memasak juadah untuk mangsa banjir dan sukarelawan di beberapa tempat.

Menerusi hantaran di akaun Facebook PEMBELA, selain NGO, terdapat juga sekumpulan sukarelawan yang bergerak atas kapasiti dan inisiatif individu.

Katanya, walaupun tidak berdaftar di bawah mana-mana kumpulan atau NGO, ia tidak menjadi penghalang untuk menyumbang.

“Segala tenaga dan wang sumbangan dikeluarkan atas dasar kesedaran dan keinginan yang tinggi untuk membantu,” katanya.

PEMBELA juga memaklumkan bahawa pusat pemindahan sementara (PPS) yang utama bertempat di Pusat Konvensyen dan Resort INTEKMA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menempatkan kira-kira 44 keluarga.

Katanya, menerusi misi banjir ini juga dapat dilihat keberkesanan gerak kerja dan kerjasama antara semua NGO di mana di sini turut menjadi pusat meletakkan barang-barang sumbangan untuk diambil oleh NGO-NGO lain untuk diedarkan ke kawasan yang mereka hulurkan bantuan.

“Inilah yang dikatakan ‘daripada rakyat, untuk rakyat’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button