Berita Utama

TH peruntuk RM1.6 juta untuk mangsa banjir

Sumbang bantuan kewangan, makanan dan khidmat pembersihan secara sukarela

KUALA LUMPUR, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sumbangan sejumlah RM 1.6 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin.

Beliau menerusi kenyataan berkata, TH menyumbang bantuan kewangan, makanan dan khidmat pembersihan secara sukarela kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir, dan bantuan itu bakal diagihkan secara langsung atau melalui rakan strategik dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kami turut bekerjasama dengan seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui kumpulan sukarelawan dengan memberi sumbangan seperti keperluan asas, bekalan makanan, dan penginapan sementara,” katanya hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, anak-anak syarikatnya iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menyumbang RM420,000, selain melancarkan Bantuan Prihatin Banjir dengan kemudahan pembayaran balik pembiayaan untuk individu yang terkesan.

Takaful Malaysia yang juga merupakan anak syarikat TH, turut menawarkan perkhidmatan tunda percuma kepada para pelanggan yang terjejas akibat banjir. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button