Berita Utama

Individu pulang tunai umrah wajib pakai peranti digital

Berikutan kes Omicron di Malaysia merupakan kes import dari Arab Saudi

PUTRAJAYA, 20 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah akan diwajibkan memakai peranti pengesanan digital mulai minggu depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini, Khairy berkata pelaksanaan itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 kes baharu varian Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Disember merupakan kes import dari Arab Saudi.

“Kesemua mereka tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lepas. Kami dapati sebahagian besar daripada mereka tidak patuh arahan pengasingan dengan ahli keluarga, mereka berjumpa sesama mereka (ahli keluarga) malah menerima tetamu.

“Mungkin tetamu atau ahli keluarga datang berziarah untuk bersalam ambil berkat tetapi salam ambil ‘Omicron’,” katanya.

Khairy berkata kegagalan mematuhi arahan kuarantin berpotensi mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan varian Omicron dalam negara ini.

“Saya harap perkara ini (arahan kuarantin) dipatuhi. Ini adalah serius. Kami bagi kemudahan untuk jalani kuarantin di rumah untuk jimatkan kos, tidak perlu tinggal di hotel. Jadi kena patuh,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 62 kes varian Omicron direkodkan di negara ini yang terdiri daripada 61 kes import dan satu kes dipercayai kes tempatan.

Susulan situasi tersebut, Khairy berkata Malaysia akan memasukkan Arab Saudi ke dalam senarai negara berisiko tinggi bersama sembilan negara lain iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

Memperincikan mengenai perkara itu, Khairy berkata kerajaan amat menggalakkan mana-mana individu yang berhasrat untuk melakukan perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button