Berita Utama

JPJ tawar gantian dokumen secara percuma kepada mangsa banjir

Kemuka dokumen asal yang rosak di kaunter pejabat JPJ

BANGI, 20 Jamadilawal 1443H, SabtuJabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan penggantian dokumen-dokumen penting secara percuma kepada mangsa yang terjejas banjir.

Keputusan itu sebagai tanda prihatin terhadap musibah banjir yang berlaku di beberapa kawasan dan negeri di Malaysia.

“JPJ melaksanakan inisiatif touch point terhadap semua mangsa banjir di lokaliti terlibat seluruh negara yang telah kehilangan atau kerosakan dokumen-dokumen penting JPJ seperti Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM), atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) secara percuma.

“Untuk itu, pemilik dokumen hanya perlu hadir mengemukakan dokumen asal yang telah rosak di mana-mana kaunter pejabat JPJ bagi mendapatkan salinan gantian yang baharu.

“Dokumen yang telah musnah atau hilang, pemilik hendaklah mengemukakan salinan laporan polis atau Borang Pendaftaran Mangsa Bencana (Pejabat Daerah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia) dan mengemukakannya sebagai bukti kehilangan bagi mendapatkan dokumen gantian yang baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JPJ juga mengambil pendekatan untuk memberikan kelonggaran dari segi pemantauan, pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Ia termasuk yang membawa bekalan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir sehingga bencana terkawal sepenuhnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button