Berita Utama

KKM siasat punca jangkitan Omicron babit warga Indonesia

Kes merupakan tahanan PATI di Depo Tahanan Semenyih

BANGI, 20 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat mengenai kontak rapat dan punca jangkitan kes positif varian Omicron membabitkan seorang lelaki warga Indonesia yang pulang dari Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM telah mendapatkan maklumat melalui Kementerian Kesihatan Indonesia (KKI) berhubung kenyataan bertarikh 23 Disember mengenai pengesanan kes positif COVID-19 dengan varian Omicron pada 21 Disember 2021.

Beliau berkata, ia susulan hasil ujian ke atas kes berusia 20 tahun itu pada 16 Disember di Indonesia, ketika dalam tempoh kuarantin selepas ketibaan dari Malaysia.

“Beliau (kes) pulang ke Indonesia pada 10 Disember 2021 denga ujian COVID-19 adalah negatif semasa ketibaan.

“Hasil siasatan di Malaysia mendapati, kes merupakan tahanan PATI di Depo Tahanan Semenyih apabila ditahan pada 22 September 2021 bersama tiga lagi rakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, keempat-empat mereka telah melakukan saringan kemasukan ke Depo pada 23 September dan kesemuanya disahkan negatif.

“Bagaimanapun, dua rakannya telah dibebaskan pada 24 September kerana mempunyai dokumen lengkap.

“Hanya kes dan seorang lagi rakan kes telah disabitkan kesalahan dan telah dihantar pulang ke Indonesia pada 10 Disember 2021 setelah selesai perbicaraan,” katanya.

Menurut Khairy, sehingga kini, rakan kes yang pulang bersama dimaklumkan adalah negatif COVID-19 pada saringan kedua.

Justeru, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat mengenai kontak rapat kes dan punca jangkitan, katanya.

“Komunikasi dengan pihak Kedutaan Indonesia di Malaysia dan KKI masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes.

“KKM juga sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi menjalankan siasatan, pengesanan kontak kepada kes serta bagi langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button