Berita Utama

Tolak pemimpin persoal larangan jual alkohol

Negeri lain wajar contohi Melaka dalam larangan di AKCC

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Jamadilawal 1443H, SabtuLangkah larangan penjualan minuman keras yang diambil oleh kerajaan negeri Melaka ke atas Ayer Keroh Country Club (AKCC) sememangnya wajar.

Ianya selari dengan Perlembagaan Persekutuan, selain demi menghormati status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Oleh yang demikian, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan,
tiada alasan untuk pihak lain mempertikai keputusan berkenaan yang disifatkan sebagai sempurna dan perlu dicontohi negeri-negeri lain.

Selain itu, katanya lagi, langkah berkenaan juga tepat pada waktunya kerana tiada agama yang mengiktiraf pengambilan minuman yang boleh membawa kemudaratan.

“Sebaliknya pengambilan minuman keras itu adalah amalan negatif yang boleh merosakkan diri selain menjatuhkan kehormatan manusia itu sendiri.

“Tiada kajian akademik yang menunjukkan dengan penjualan arak sebagai lambang kepada kemajuan, kebahagiaan individu tetapi lebih banyak membawa kemudaratan diri dan penyakit sosial,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Zamani menjelaskan, pengambilan minuman keras adalah budaya Barat yang tidak membawa manfaat.

“Buat apa kita agungkan budaya Barat sebaliknya tonjolkan budaya ketimuran yang jauh lebih baik dan bersesuaian dengan budaya kita sendiri,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berpandangan pemimpin yang mempersoalkan isu penjualan minuman keras perlu ditolak oleh rakyat.

“Jika Perlembagaan negara pun mereka tidak boleh patuh, apa guna jadi pemimpin kerana tidak memberi contoh yang baik kepada rakyat.

“Kita sebagai rakyat perlu gunakan kuasa kita, menilai semula dan tidak boleh golongan itu diangkat sebagai pemimpin yang boleh membela kita,” tegas beliau.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menggesa kerajaan Melaka menjelaskan sebab AKCC diarahkan berhenti menjual minuman beralkohol dalam premis itu.

Menurut Ahli Parlimen DAP itu, kegagalan menjelaskan sebab larangan itu boleh menjejaskan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button