Berita Utama

Utamakan kesihatan kendiri elak penyakit berjangkit: PERDIM

Pastikan makanan dan minuman yang dimasak sempurna

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Jamadilawal 1443H, SabtuOrang ramai terutamanya mangsa banjir dinasihat supaya mengutamakan kesihatan kendiri sepanjang terlibat dengan operasi pembersihan pasca bencana.

Keadaan berkenaan amat penting bagi mengelak sebarang risiko kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh meragut nyawa.

Pengerusi Biro Media Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria berkata, aliran air tercemar di kawasan banjir boleh memberi risiko kepada penyebaran penyakit berjangkit berbahaya seperti leptospirosis iaitu kencing tikus, taun dan denggi.

“Orang ramai perlu sentiasa memberi keutamaan kepada hal berkaitan kesihatan berikutan keadaan banjir melanda memudahkan penyakit-penyakit berjangkit merebak terutama disebabkan aliran air tercemar.

“Elakkan terlalu lama dalam lumpur kesan daripada banjir, sekiranya perlu amalkan alat pelindung sebagai langkah penjagaan sepanjang melakukan operasi tersebut,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Katanya lagi, penduduk juga disarankan mengambil minuman dan makanan yang dimasak sempurna walaupun dalam keadaan kritikal.

Jelasnya, perkara ini penting supaya orang ramai tidak terdedah kepada masalah kesihatan seperti cirit-birit dan kekurangan air dalam badan.

“Tidak dinafikan keadaan kini sangat terdesak tetapi sebolehnya amalkan kebersihatan selain mengambil makanan dan minuman yang dimasak sepenuhnya kerana boleh mencegah penyakit,” katanya.

PERDIM dalam masa sama turut melancarkan tabung banjir yang akan digunakan sebagai dana untuk diagihkan kepada mangsa yang terkesan.

Katanya, tabung berkenaan dilancarkan kepada ahli-ahli PERDIM namun dibuka kepada orang ramai yang berhasrat menjayakan misi berkenaan.

Dr Norzaidi menambah, tabung yang dilancarkan ini dibuat sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa-mangsa banjir sekali gus meringankan beban mereka yang berdepan musibah.

“Orang ramai yang ingin menyumbangkan kepada mangsa banjir boleh hubungi Setiausaha Pejabat PERDIM iaitu Puan Husna di talian +60132448176 bagi mempermudahkan PERDIM menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button