Berita Utama

46 lokasi tanah runtuh di Selangor dan KL, 9 kritikal

10 tapak kejadian tanah runtuh dalam tindakan secara berperingkat

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilawal 1443H, Ahad – Sebanyak 46 lokasi tanah runtuh dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan sembilan daripadanya dikategori pada tahap kritikal setakat hari ini, menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Laporan Kejadian Tanah Runtuh Monsun Timur Laut yang dikeluarkan JMG hari ini memaklumkan, sembilan lokasi tanah runtuh itu membabitkan dua lokasi di sini, iaitu Kampung Palimbayan di Sungai Penchala dan Taman Duta di Seri Duta.

Selebihnya adalah di Selangor iaitu Taman Nusa, Subang; Apartment Teratai, Selayang; Jalan Bunga Anggerik, Taman Melawati; Jalan Melati 7, Taman Seri Melati; Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang; Jalan Saidina Hamzah, Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang; dan Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar, Klang.

Semua kawasan kritikal itu termasuk 36 lokasi tanah runtuh yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, malah JMG telah membuat penilaian serta menjalankan pemantauan berterusan di tapak kejadian tanah runtuh berkenaan.

Menurut laporan itu, 10 lagi tapak kejadian tanah runtuh sedang dalam tindakan secara berperingkat mengikut keutamaan antaranya membabitkan kawasan di Taman Keramat dan Jalan Kia Peng, di sini.

Selain itu di Selangor melibatkan antaranya Taman Zooview; Riverdale Park Apartment, Ampang; Jalan Wangsa 1; Taman Melur, Ampang; Kampung Sungai Kelambu, Banting; Ukay Perdana, Ulu Klang; Jalan Selayang-Rawang; Jalan Banglo, Batu Arang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button