Berita Utama

Banjir: UNISEL buka pusat pengumpulan al-Quran rosak

Proses pelupusan dilakukan secara teratur, ikut prosedur

BANGI, 21 Jamadilawal 1443H, Ahad – Atas dasar tanggungjawab, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya membuka pusat pengumpulan al-Quran yang terjejas akibat banjir sebelum dilupuskan.

Inisiatif tersebut bagi memastikan proses pelupusan dilakukan secara lebih teratur dan sempurna dalam menjaga kemuliaan al-Quran.

Naib Canselor UNISEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, mangsa banjir di sekitar universiti iyang mempunyai al-Quran terjejas boleh menghantar ke Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya sebelum diserahkan kepada pihak berwajib untuk dilupuskan.

“Kemuliaan al-Quran menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Jadi, proses pelupusan perlu melalui cara terhormat dan mengikut prosedur ditetapkan Majlis Agama Islam.

“Perkhidmatan pengumpulan di sini adalah kerana UNISEL merupakan kawasan strategik dimana ianya bertempat di tengah-tengah antara Kampung Bestari Jaya, Kawasan Permatang dan Ijok serta kawasan sekitar,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dr Mohammad Redzuan Othman menjelaskan, pihak UNISEL akan menanggung segala kos pelupusan Al-Quran yang terjejas.

“Proses pengumpulan tersebut akan terus dilaksanakan hingga selesai semua proses pembersihan rumah mangsa banjir kawasan sekitar,” katanya.

Justeru, pihak di kawasan sekitar universiti yang ingin menghantar al-Quran terjejas boleh menghubungi Pengarah Pusat Islam, Ustaz Ab Razak Aripin di talian 019-782 2897.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button