Berita Utama

Enggan lulus pengeluaran KWSP, kerajaan remukkan hati rakyat

Pelik cara PM berfikir, rayu Agong bantu tunaikan hasrat rakyat

BANGI, 21 Jamadilawal 1443H, Ahad – Harapan rakyat khususnya mangsa-mangsa banjir supaya  pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 dapat dikeluarkan sekali lagi ‘musnah’ apabila kerajaan enggan berbuat demikian.

Hakikatnya, bukan mudah untuk rakyat menerima kenyataan, memandangkan ramai yang terjejas teruk akibat banjir besar di Selangor dan beberapa negeri lain, selepas mereka baru sahaja berdepan sekatan berkaitan COVID-19.

Keputusan terbaharu kerajaan ini sudah pasti mematahkan semangat dan menyebabkan kebuntuan terhadap rakyat yang kian dihimpit masalah kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang mengumumkan keputusan itu berkata, kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

“Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, TEKUN menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bagi yang mahu beli barang keperluan rumah, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beri pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah, dan moratorium selama enam bulan,” katanya.

Bagaimanapun, salah satu bantuan yang dinyatakan dilihat bakal lebih membebani rakyat kerana ia melibatkan pinjaman baharu yang perlu dibayar balik.

Salah seorang pengguna laman Facebook, Muhamad Hilmie menyuarakan ketidakpuasan hatinya dan mempersoalkan keputusan kerajaan.

“Inisiatif yang diberitahu itu akan dibayar balik. Kira hutang. Tak sempat tua, mati dulu, bawa hutang sampai ke mati. Duit KWSP tak sempat rasa. Macam mana menteri berfikir? 

“Dah lah nak mohon inisiatif tu bermacam-macam kerenah birokrasi yang sangat menyusahkan rakyat. Rakyat dah susah bertambah susah. Menteri gaji berpuluh ribu bertambah kaya,” tulisnya.

Deddy Asri pula berkata, orang ramai yang meminta pengeluaran KWSP diluluskan bukan hanya mangsa banjir, tetapi seluruh rakyat yang ‘kesesakan’. 

“KWSP bukan untuk mangsa banjir sahaja, ini seluruh rakyat yang minta. Apalah nak pusing mangsa banjir pula kamu kambing hitamkan mail.

“Alahai kamu bolehlah buat pelancaran majlis sana sini. Rakyat ini bukan setakat banjir sahaja, sebelum ini pun memang tengah susah dengan hutang bagai yang tak habis-habis. Kamu pula bagi rakyat berhutang lagi,” katanya.

Deddy turut menggunakan tanda pagar #letakjawatan, #nofunction dan #lemahhhh.

Manakala, Abu Bakar pula berkata, terdahulu rakyat sudah menghantar memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) mengenai pengeluaran KWSP berjumlah RM10,000.

“Kami berharap ada sinar di hujung terowonglah. PM memang tak bagi dah. Buat pinjaman bukan semua orang boleh lulus. Yang senarai hitam mesti sangkut punya,” katanya.

Berkongsi nada yang sama, Cik Puz Apuz turut mengharapkan YDPA prihatin serta dapat menyuarakan hasrat bagi pihak rakyat. 

“Bantuan yang semuanya bukan dapat terima. Ada yang layak ada yang tak layak. Adakah patut nak suruh pergi berhutang. Sedangkan duit kami ada dalam KWSP. Apa punya pemikiran mereka ni,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button