Berita Utama

Omicron: JKN Melaka minta penumpang Saudi Airlines SV3842 tampil

Wanita 34 tahun positif varian Omicron selepas pulang umrah

MELAKA, 21 Jamadilawal 1443H, Ahad – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka sedang mengesan penumpang menaiki pesawat Saudi Airlines SV3842 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jeddah pada 15 Disember.

Ia berikutan kes pertama varian COVID-19 Omicron telah dikesan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penumpang boleh menghubungi Kementerian Kesihatan untuk tampil membuat pengesahan. 

“Kami berharap penumpang dalam penerbangan itu akan tampil untuk membantu kami mengekang penularan varian itu dengan berkesan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, penerbangan itu tiba di KLIA pada 15 Disember pada 9.50 malam.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengesan satu kes positif COVID-19 varian Omicron pertama di negeri ini membabitkan seorang wanita berusia 34 tahun yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadah Umrah bersama suaminya.

Wanita itu disahkan positif COVID-19 pada 18 Disember, bersama lima yang lain sebaik pulang dari menunaikan umrah (pada 15 Disember). 

Mereka berada di Arab Saudi antara 4 Disember hingga 15 Disember.

Wanita itu kini dirawat di Hospital Melaka dan dirawat di wad terpencil.

Difahamkan, terdapat 41 penumpang tempatan dalam penerbangan yang sama dengan wanita itu.

Penumpangnya adalah dari Kuala Lumpur dan Melaka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button