Berita UtamaDunia

Pakatan pimpinan Arab Saudi serang kem pemberontak Yaman

PBB anggar lebih 300,000 terbunuh menjelang akhir tahun

RIYADH, 21 Jamadilawal 1443H, Ahad – Pakatan diketuai Arab Saudi yang bertempur di Yaman mendakwa pihaknya menyerang kem pemberontak Houthi di ibu kota Sanaa, ketika ia memperhebatkan kempen pengeboman udara terhadap pemberontak yang disokong Iran.

Pakatan itu – yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa – menentang Houthi dalam perang saudara mendakwa, pihaknya memusnahkan gudang senjata di ibu kota yang dikuasai pemberontak, menurut Agensi Akhbar rasmi Saudi (SPA).

“Operasi di Sanaa adalah tindak balas segera kepada percubaan untuk memindahkan senjata dari kem Al-Tashrifat,” dakwanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Yaman dilanda perang saudara sejak 2014 menentang kerajaan dengan Houthi menguasai sebahagian besar wilayah utara.

Puluhan ribu orang terbunuh akibat perang, meninggalkan negara itu dalam apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Arab Saudi menuduh Iran membekalkan senjata canggih kepada Houthi dan proksi Hizbullah melatih pemberontak – dan dakwaan itu dinafikan Tehran.

Semalam, pakatan itu melancarkan operasi ketenteraan ‘berskala besar’ terhadap Houthi selepas peluru berpandu yang dilepaskan pemberontak membunuh dua orang di kerajaan itu, kematian pertama dalam tiga tahun.

Serangan udara itu mengorbankan tiga orang awam, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita, kata pegawai perubatan Yaman kepada agensi berita AFP.

Pakatan itu mempergiatkan serangan udara ke atas Sanaa, menyasarkan lapangan terbang awal minggu ini, yang operasi sebahagian besarnya dihentikan kerana sekatan yang diketuai Arab Saudi sejak Ogos 2016, dengan pengecualian untuk penerbangan bantuan.

Kumpulan bersenjata itu sering melancarkan peluru berpandu dan dron ke Arab Saudi, menyasarkan lapangan terbang dan infrastruktur minyak.

PBB menganggarkan perang Yaman akan membunuh 377,000 orang menjelang akhir tahun ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button