Tunggu keputusan Pusat isu hala tuju PAS-UMNO Kelantan
Sudah mesyuarat, perkara ini lebih kepada dasar parti

TUMPAT, 21 Jamadilawal 1443H, Ahad – Keputusan berhubung hala tuju dan masa depan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) masih belum diketahui, dan PAS Kelantan masih menunggu maklum balas Pusat.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS.
“Kita sepakat memutuskan untuk menunggu jawapan daripada PAS Pusat berkaitan hal berkenaan.
“Perkara ini lebih kepada dasar parti dan perlu menunggu maklum balas daripada PAS Pusat.
“Kita bermesyuarat dan menunggu respons mereka. InsyaALLAH, kita mendoakan agar akan ada banyak kebaikan,” katanya seperti dilapor portal tempatan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Yacob menyatakan pihaknya telah menerima surat daripada Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berhubung perkara itu, minggu lalu.
Beliau berkata, surat tersebut sudah diterima pihaknya dan jawapan serta penentuan tarikh perbincangan berkait hal itu juga bergantung kepada pusat.
UMNO Kelantan sebelum ini mengutuskan surat rasmi kepada PAS negeri itu bertujuan mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju serta memuktamadkan kedudukan MN pada peringkat negeri.