Banjir: Bantuan wang ihsan RM1,000 mula dibayar hari ini
Sebanyak RM34 juta diperuntukkan kepada 34,000 ketua isi rumah

BANGI, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada 34,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di negeri-negeri yang terjejas bencana banjir.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, sehingga 27 Disember, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk disalurkan kepada KIR yang mula dibayar pada hari ini.
Beliau berkata, perkara itu antara yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Gelombang Kedua Bencana Banjir, hari ini.
Katanya, sebanyak RM10,000 juga diberikan kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia dan telah disalurkan melalui pihak negeri.
“Bantuan ini diselaraskan di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
“Penyaluran BWI dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu sama ada serahan tunai PKOB, atau serahan tunah rumah ke rumah atau pemindahan tunai secara atas talian (EFT),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zuki berkata, kaedah itu dilaksanakan untuk mempermudah urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas dengan hanya pengesahan oleh Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkan tanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan.
“Jumlah anggaran ini adalah berdasarkan maklumat KIR yang berdaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
“Usaha mengenalpasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan oleh PKOB dan ICU untuk memastikan BWI dapat disalurkan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat turut memutuskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, NGO serta individu bagi pengurusan pembersihan pasca banjir.
“Usaha ini dibantu secara langsung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) khususnya menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenalpasti di kawasan terdekat dengan kawasan terjejas banjir secara transit.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan,” katanya.