Berita UtamaDunia

Banjir Brazil: 35,000 hilang tempat tinggal, 18 terkorban

Ratusan cedera, ribuan lagi penduduk masih terperangkap

SALVADOR, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Angka kematian meningkat kepada 18 orang ketika kira-kira 35,000 penduduk hilang tempat tinggal di negeri Bahia, Brazil susulan hujan lebat yang mengakibatkan banjir.

Pasukan bomba dan penyelamat mengesahkan kematian seorang warga emas lelaki akibat lemas di selatan negara itu.

Agensi Perlindungan Awam Bahia, Sudec memaklumkan, dua lagi dilaporkan hilang ketika 19,580 kehilangan tempat tinggal dan 16,001 mencari perlindungan, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 35,000.

Laporan itu menambah, kira-kira 286 penduduk pula dilaporkan cedera sejak kejadian banjir melanda negara itu.

Menurut anggaran, lebih daripada 430,800 penduduk telah terjejas, dan keadaan bertambah buruk sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Gabenor Rui Rosta ketika meninjau di lokasi banjir menyifatkan kejadian sebagai tragedi besar.

“Keadaan rumah, jalan dan bandar yang terjejas akibat banjir sangat menakutkan,” katanya.

Sejak Sabtu, operasi bersama perkhidmatan kecemasan persekutuan dan negeri telah digerakkan bagi menyelamatkan ribuan penduduk yang terperangkap akibat banjir.

Pihak berkuasa tempatan kini bertungkus-lumus menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa di kawasan yang terjejas banjir. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button