Berita Utama

Banjir: Sediakan keperluan asas, ganti tak benarkan pengeluaran KWSP

Mungkin kerajaan bimbang ramai jadi miskin tegar selepas pencen

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Jamadilawal 1443H, IsninKerajaan perlu menyalurkan bantuan lebih efektif sebagai ‘ganti’, selepas tidak membenarkan pengeluaran kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000.

Tidak dinafikan, rata-rata rakyat terutama mangsa banjir sangat memerlukan wang dalam jumlah yang besar bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas bencana melanda.

Atas dasar itu, menjadi kewajipan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam mempergiatkan lagi bantuan kepada rakyat.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan perlu menyediakan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas teruk akibat banjir.

“Namun begitu, kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan, sebaliknya perlu bergabung dengan Pusat untuk melihat secara keseluruhan dalam mempelbagaikan bantuan.

“Mereka kehilangan harta benda sekelip mata, sekarang permohonan pengeluaran KWSP pula tidak dipersetujui, jadi perlu ada bantuan asas lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau pada masa sama tidak menafikan kerajaan mempunyai alasan kukuh tidak membenarkan pengeluaran KWSP, berikutan bimbang ramai keluarga menjadi miskin tegar selepas usia pencen.

Keadaan itu kerana tiada simpanan yang mencukupi dan boleh digunakan ketika usia emas.

“Hakikatnya kerajaan berfikir untuk jangka masa panjang, dan tidak mahu rakyat berterusan menjadi susah dan perlu berkerja keras walaupun selepas usia bersara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

“Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, TEKUN menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bagi yang mahu beli barang keperluan rumah, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beri pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah, dan moratorium selama enam bulan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button